Wednesday 4 January 2012

Tahun baru 2012

Entry ini bukan untuk mengucapkan selamat tahun baru kepada semua. Tapi untuk menyatakan keluhan serta kekecewaan terhadap perkara yang terjadi pada malam sambutan tahun baru yang lepas..

"Pelajar UPSI Dibelasah dan Ditangkap"

Aduh...awal pagi lagi, dah kena baca berita macam ni. 17 ditahan, belasan cedera, seorang pelajar koma. Aku mmg agak ralat dan kurang gemar dengan sesetengah individu yang mahu menjadi 'hero retorik' baru Malaysia. Kononnya the next 'Anwar Ibrahim'. Percayalah cakap aku, hero-hero yang seperti ini, datang dan kemudiannya pergi. Mengkhianati sesuatu yang kononnya diperjuangkan sekarang tetapi melupakannya kemudian hari. Hari ini sokong sini,esok lain pula ceritanya. Atas sebab tidak berpuas hati kerana tidak menjadi AJK mana-mana parti atau persatuan, mulalah kutuk pula. Parti tidak telus lah, persatuan seleweng lah. Nama, pangkat dan harta adalah keutamaan mereka. Memang selalunya jadi begini. Aku bercakap menerusi pengalaman. Tak usahlah nak kata, ini semua atas dasar perjuangan. Kita bukannya Nabi. Mungkin ada lah seorang dua yang betul ikhlas. Tapi memang susah hendak kita jumpa spesis seperti ini. SUSAH SANGAT. No even one in a million.

Soalnya sekarang ialah "Perlukah pelajar-pelajar UPSI ini atau mana-mana manusia lain di dunia ini terutamanya di Malaysia, dilayan seperti anjing kurap? Sedangkan anjing kurap sekalipun tidak layak dilayan sedemikian rupa". Bunyi soalan ini kelihatan seperti cliche. Kebanyakan manusia normal dimana sahaja akan menjawab "Tidak". Tetapi berlainan pula di Malaysia. Bila ditanya soalan ini, jawapannya akan berbunyi seperti "Siapa suruh dorang berdemo?" atau "Itulah, orang suruh belajar yang korang sibuk berdemo tu kenapa?" atau "Padan muka". Soalan pun tak faham, ada hati nak jawab. Adoi! Jawapan untuk setiap soalan seperti ini tidak perlu terlampau bernas. Tidak perlu juga berjela-jela panjangnya. Cukuplah sekadar jawapan yang kena dengan soalan. Ini tidak, semua nak off topic dan terlepas pandang. Sorry, pura-pura terlepas pandang. Sebab kononnya, soalan atau isu yang berkaitan 'tiada kena-mengena' dengan diri mereka. Tolonglah!

Semua yang terjadi di Malaysia ini, semuanya PASTI ada kaitan dengan setiap rakyatnya. Dari yang kecil hinggalah yang sudah berbulu begitu juga yang sudah berkedut. PASTI. Jenayah, ekonomi, polisi kerajaan, agama, gejala sosial, pelajaran, politik. Segalanya. Setiap rakyat pasti terbabit atau akan terkesan dengan semua faktor ini. Semua usia. Tiada yang terkecuali. Tidak perlu ke sekolah yang tinggi untuk faham perkara-perkara asas seperti ini. Cuma perlu lebih bersikap terbuka, sedikit ambil tahu hal-ehwal semasa dan buang mentaliti lama. Wajib ditanam mentaliti, 'Korupsi itu adalah perkara yang salah" atau "rakyat tidak boleh ditindas serta ditipu begini" dan "Kita kena berbuat sesuatu untuk mengubah keadaan". Bila pemikiran seperti ini berkuasa didalam kepala masyarakat, siapa yang perlukan 'hero retorik'? Tidak perlu lagi 'hero retorik'.

Lupakan undang-undang yang dicipta oleh manusia kerana bukan semua undang-undang dicipta untuk menjaga kepentingan rakyatnya. Kebanyakan undang-undang adalah untuk melindungi mereka yang memerintah negara ini. Kenapa? Sebab mereka mahu kekal berkuasa. Itulah rasional dan realitinya. Fatwa ulama'? Dikeluarkan oleh ulama' yang bekerja untuk golongan pemerintah. Nak melawan? Mereka cuma makan gaji. Terpakasa berpura-pura bodoh. Terpaksa tutup mata. Terpaksa menipu rakyat dan menipu Tuhan mereka sendiri. Aduh...

Mana-mana dunia politik sememangnya dipenuhi dengan mereka yang bersifat seperti anjing yang tamak. Dan ia akan terus begitu sehingga kiamat. Mereka akan sentiasa memperjuangkan hak mereka dan bukan hak rakyat. Mengenyangkan perut mereka dan bukan perut rakyat. Mengkayakan ahli keluarga serta kroni mereka tanpa mempedulikan kemiskinan rakyat. Inilah dia kenyataan dunia politik dimana-mana negara di dunia ini. Janji-janji mereka kepada rakyat sebelum dapat menguasai sesuatu negara itu, adalah retorik semata-mata. Kerajaan atau pembangkang, sama sahaja. Cuma kita sebagai rakyat perlu memilih yang mana yang baik untuk diri kita walaupun kedua-duanya sama sahaja. Yang baik untuk jangka masa yang panjang. Itulah yang tidak seronoknya kita menjadi rakyat. Kerana kita perlu memilih di antara mereka ini. Kalau tersilap pilih, tidak menjadi masalah. Perbetulkan kesilapan pada pilihanraya seterusnya dengan menendang keluar bahalol yang tidak membuat kerja.

Itulah tanda sebuah negara bebas!

No comments:

Post a Comment